Paradigma

NABI BERKAHWIN KANAK-KANAK?

Minggu ini agak menggemparkan apabila kecoh ada seorang lelaki berkahwin dengan kanak-kanak berusia 11 tahun. Rujuk sini>> KOSMO

Pelbagai pandangan, cemuhan, dan kecaman datang dari pelbagai arah. Lebih parah apabila lelaki tersebut memberi alasan “Nabi pun berkahwin dengan Saiditina Aisyah ketika kanak-kanak”.

Persoalan timbul.. Betul ke Nabi berkahwin dengan Saiditina Aisyah semasa kanak-kanak? Betul ke Islam benarkan?

Sebelum kita pergi jauh. Saya nak terangkan sikit fungsi dan asas perkahwinan.

Islam mensyariatkan manusia untuk bernikah sebagai bentuk memenuhi fitrah biologi manusia. Ia sesuatu yang fitrah, apabila setiap kejadian di muka bumi berpasangan, ada langit dan bumi, ada siang dan malam, dan ada lelaki dan wanita.

Firman Allah, “Maha Suci Zat yang telah menciptakan berpasang-pasangan semuanya dari apa yang ditumbuhkan bumi dan dari diri-diri mereka sendiri dan dari apa yang tidak mereka ketahui.” (Yaasiin : 36)

Begitu juga dengan firman Allah dalam surah az-Zariyat ayat 49, “Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan, supaya kami dan mengingati (kekuasaan kami dan mentauhidkan Kami) akan kebesaran Allah.”

Islam menolak konsep kerahiban yang disyariatkan dalam agama Kristian, dan seperti para sami dalam praktis agama budha. Islam memahami sifat semulajadi manusia, dan Islam tahu bahawa naluri manusia terhadap lelaki dan wanita perlu disalurkan pada jalan yang betul. Malah dengan perkahwinan, jiwa setiap pasangan lebih tenang dan kehidupan mereka lebih produktif.

Berdasarkan kajian yang dilakukan terhadap kesan sesebuah perkahwinan dari sudut kesihatan. Para pengkaji bersetuju bahawa perkahwinan dapat merendahkan risiko mengidap penyakit berkaitan dengan jantung dan penyakit lain sebanyak 50%.

Berdasarkan kepada sebuah jurnal yang bertajuk ‘Social Relationships and Mortality Risk: A Meta-analytic Review’, kajian menunjukkan bahawa risiko mendapat penyakit 50% lebih rendah kepada mereka yang mempunyai hubungan yang intim. Manakala mereka yang berseorangan mudah mendapat penyakit berkait dengan kardioviskular dan mudah mendapat penyakit.

Semua kajian ini selari dengan firman Allah yang menunjukkan perkahwinan dapat menenangkan diri dan menjadikan pasangan suami isteri lebih bahagia.

Firman Allah bermaksud, “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” (surah ar-Rum ayat 21)

Namun timbul persoalan khususnya mengenai had umur sesebuah pernikahan. Dalam masalah ini, terdapat kekeliruan dari kalangan umat Islam dan belum Islam mengenainya. Perkara ini amat serius, sehinggakan ia menjadi sebuah amalan menindas hak kanak-kanak wanita atas alasan Nabi pun kahwin dengan kanak-kanak!

Kita semua perlu akui, bahawa perkahwinan bawah umur secara asasnya ada dalam semua budaya dan agama. Malah dalam budaya arab perkahwinan bawah umur adalah sebuah norma, dan ia tidak dipandang sesuatu yang salah. Dalam budaya arab sebelum Islam lagi, perkahwinan antara gadis bawah umur dengan lelaki tua adalah perkara biasa. Dan boleh dikatakan ia menjadi amalan di kalangan bangsa arab dahulu.

Apabila Islam datang, Islam tidak menghapuskan seluruh budaya dan adat yang pernah dimiliki oleh sesebuah bangsa dan tamadun. Islam akan mengislamisasikannya bertahap-tahap, agar ia tidak melampaui batas dan agama. Biasanya perkahwinan bawah umur ini melibatkan campur tangan keluarga, terutama bapa atau datuk gadis itu.

Islam melihat perkara ini dengan diplomasi, dan menanganinya dengan lemah-lembut. Mengetahui bahawa kuasa menghawinkan gadis bawah umur ada di tangan seorang bapa atau datuk, maka Islam meletakkan beberapa syarat yang perlu dipenuhi sebelum boleh memaksa seorang gadis berkahwin dengan pilihan mereka (iaitu ayah dan datuk gadis tersebut), dan mereka ini digelar sebagai Wali Mujbir.

Siapakah sebenarnya Wali Mujbir ini?

Wali Mujbir adalah wali nikah yang berkuasa untuk mengahwinkan seorang gadis dengan sesiapa sahaja tanpa persetujuan gadis. Hak untuk memaksa ini jelas dari perkataan Mujbir dalam bahasa Arab merupakan kata nama perlaku kepada kata perbuatan memaksa seseorang.

Kuasa memaksa yang ada pada wali Mujbir berasaskan kepada dua perkata[i]:

  1. Wali melakukan paksaan dengan sebab adanya perasaan kasih sayang dan mengambil berat akan masa hadapan orang yang berada di bawah jagaan mereka.
  2. Wali melakukan paksaan beradasarkan pandangan dan pendapat bahawa pemilihan yang dilakukan adalah lebih baik dan boleh memberi manfaat kepada orang yang berada di bawah jagaannya.

Antara syarat yang perlu dipenuhi oleh Wali Mujbir ini (istilah merujuk kepada bapa atau datuk gadis) ialah:

  1. Tiada unsur permusuhan yang ketara antara wali dengan anak atau cucu perempuannya yang akan dikahwinkan. Penetapan syarat ini bagi memastikan wali tidak mengambil kesempatan atau bertujuan menzalimi anak gadis terebut.
  2. Bakal pengantin lelaki yang dicalonkan oleh wali mestilah sekufu dengan bakal pengantin perempuan. Sekufu bermaksud, calon pengantin lelaki haruslah sesuai dengan pengantin perempuan dari sudut usia, ekonomi dan kemampuan. Ia bagi memastikan sebuah institusi keluarga dapat dibina dengan kukuh, bahagian dan harmoni.
  3. Calon suami mampu membayar mahar kepada calon isteri. Syarat ini menunjukkan bahawa calon suami mampu menanggung isteri apabila sudah berkahwin, dan memenuhi keperluan isteri.

 

Setelah semua syarat-syarat ini dipenuhi, barulah boleh Wali Mujbir mengahwinkan anak gadis mereka kepada orang yang mereka pilih, walau tanpa persetujuan anak gadis mereka. Semua syarat-syarat dan proses ini dibina oleh para ulama berdasarkan hadith-hadith serta atsar yang ada direkodkan.

Antara hadith yang digunakan dalam perkara ini sebagai dalil ialah dari sebuat atsar yang diriwayatkan oleh Saiditina Aisyah bermaksud, “Rasulullah telah mengahwinini aku ketika berusia 7 tahun, dan aku telah tinggal bersama baginda semasa berusia 9 tahun.”

Dari hadith ini menunjukkan Saidina Abu Bakar bapa kepada Saiditina Aisyah telah mengahwinkan anaknya dengan rasulullah tanpa meminta izin darinya. Keadaan ini menunjukkan bahawa dibolehkan seorang bapa menggunakan kuasa wali yang ada padanya untuk menikahkan anak gadisnya tanpa meminta izin[ii].

Selain dari Saidina Abu Bakar, menurut Ibnu Qudamah, ramai lagi para sahabat Rasulullah mengahwinkan anak gadis mereka tanpa meminta izin. Antaranya Saidina Ali menikahkan puterinya iaitu Ummu Kalsum dengan Saidina Umar Al-Khatab, dan Az-Zubair menikahkan puterinya dengan Qudamah Ibn Matghun.

Melihat pula dari sudut zaman, usia anak gadis sekitar 9 hingga 12 tahun pada waktu zaman dahulu tidak boleh dibandingkan dengan anak gadis berusia 9-12 tahun pada zaman sekarang. Zaman memainkan peranan dan membentuk prepsi masyarakat.

Contohnya mudah, anak gadis berusia 9 tahun pada zaman arab sebelum dan semasa Islam dipandang sudah cukup matang dan besar untuk dikahwinkan. Malah tiada rekod dari para sejarahwan dan ahli hadith mengenai prepsi buruk masyrakat terhadap perkahwinan bawah umur waktu itu. Macam saya katakana tadi, ia adalah sesuatu yang normal dan biasa pada zaman dan prepsi masyarakat waktu itu.

Bukan sahaja pada bangsa Arab, tetapi bangsa Europe dan barat juga memandang perkahwinan bawah umur pada ketika itu adalah sesuatu yang biasa. Saya suka memetika kajian yang dilakukan oleh Lynda Garland dari University of New England, Australia dan Andrew Stone dari University of Western Australia. Mereka berdua menulis sebuah kajian mengenai Agnes-Anna iaitu isteri kepada Alexius II dan Andronicus I dari Dinasti Comneni[iii].

Menurut mereka, William of Tyre menulis, “Ketika Agnes sampai di Konstantinople, beliau baru berusia 8 tahun dan Alexius pula berusia 13 tahun. Pengantin perempuan (bawah umur) sama ada dari Byzantine atau puteri Negara luar, adalah perkara biasa terutama pada akhir abad 12. Irene Ducaena, isteir kepada Alexius I Comnenus, berusia 12 tahun semasa berkahwin dan menaiki takhta pada usia 15 tahun. Manakala Puteri Theordora, anak saudara perempuan kepada Manuel, berusia 13 trahun semasa berkahwin dengan Baldwin III dari Jerusalem. Margaret Maria, dari Hungary berkahwin dengan Issac II Angelus pada usia 9 tahun.

Di Malaysia juga begitu, sewaktu masih belum merdeka dan masih menggunakan nama Tanah Melayu. Nenek moyang kita dahulu juga berkahwin muda, dan ia dianggap perkara biasa dan masyrakat waktu itu menerimanya sebagai suatu norma.

Namun perubahan zaman, budaya, dan keadaan maka perkahwinan di bawah umur yang kini dianggap salah, tetapi tidak waktu dahulu, mendapat perhatian wajah dari semua pihak. Melihat fenomena ini sudah berubah, dan persepsi juga berubah, maka kebanyakan Negara mahupun sesebuah kerajaan telah menggubal undang-undang bagi mengawal perkara ini.

Misalnya Negara Malaysia, negeri pertama menggubal undang-undang berkaitan dengan had usia perkahwinan ialah negeri Johor. Negeri Johor memperuntukkan setiap perempuan yang hendak dinikahkan itu hendaklah berumur tidak kurang daripada 16 tahun dan bagi lelaki yang hendak dinikahkan hendaklah berumur tidak kurang daripada 18 tahun, melainkan dengan sebab-sebab tertentu dan kebenaran Kadi Besar (Enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor 1978, s113(6)).

Walau bagaimanapun, peruntukan ini telah dimansuhkan oleh Enakmen Undangundang Keluarga Islam Johor 2003, fasal 8 (Ahmad Ibrahim 1999: 38). Seksyen 8 Akta 303 memperuntukkan: Tiada suatu perkahwinan boleh diakadnikahkan di bawah Akta ini jika lelaki itu berumur kurang daripada lapan belas tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada enam belas tahun kecuali jika Hakim Syarie telah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu.

Dengan adanya peruntukan ini, maka kebenaran untuk memaksa anak gadis kahwin mengikut pilihan wali terikat dengan undang-undang dan syarat yang perlu dipenuhi. Ini semua dilakukan bagi memastikan tiada yang tertindas, dizalimi, mahupun dianiaya oleh sesiapa. Oleh itu, kita dapat fahami, bahawa budaya, zaman dan masa memainkan peranan membina persepsi dan perundangan terhadap had umur perkahwinan seseorang anak gadis. Maka tidak timbul lagi, soal Islam menggalakan atau menindas wanita bawah umur untuk berkahwin.

 

================== Rujukan================

[i] Mohamad Som Sujiman & Abdul Basir Mohamad, 2006, Fikah Kekeluargaan,Kuala Lumpur: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

[ii] Imam Nawawi

[iii] http://www.luc.edu/roman-emperors/aggiefran.htm

please follow & share:
0

Facebook Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Suka artikel di Blog ini? Kongsikan pada orang lain juga :)

Scroll To Top