Paradigma

JANGAN SESEKALI BERPUTUS ASA

“Kau pernah rasa putus asa dalam hidup?”

Saya masih ingat lagi pertanyaan kawan saya ini 3 tahun lepas.

Ketika dalam keadaan yang sungguh terdesak, resah dan kecewa. Ia satu persoalan yang menyentak jiwa. Sungguh ketika itu seperti hilang segala harapan didalam hidup.

Waktu itu perniagaan saya jatuh teruk, bagai dihumban dari tingkat 15. Patah riuk, mengalir deras darah di jalanan. Tapi masih bernyawa, hanya harapan mendakap dada, kepada Tuhan diserahkan jiwa raga.

Tiada tempat untuk saya mengadu dan berserah. Tuhan menjadi tempat menyerah dan berkeluh kesah. Hanya Tuhan yang tidak pernah pergi meninggalkan kita, mendakap terus hambaNya.

3 tahun saya cuba bangun kembali jiwa yang rapuh. Bertemu pelbagai insan yang cuba merobek dan meroboh, mengadu domba seperti orang bodoh. Saya berhenti, dan meninggalkan mereka.

3 tahun juga bertemu pelbagai manusia yang ikhlas membantu diri untuk kembali berharap dan bercita-cita. Terima kasih tidak terhingga. Hingga saya mampu berdiri semula, bercita-cita semula, dan percaya ada sinar yang akan menerpa.

“Apakah penawarnya? Apakah menteranya?” Tanya rakan kembali.

Tiada penawar selain dari kata-kata Azimat, dari Tuhan yang Maha Hebat.

“Tidak ada suatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; dan barangsiapa yang beriman kepada Allah nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu” (QS. At Taghabun : 12)

(Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berduka cita terhadap apa yang luput darimu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu” (QS. Al Hadid : 23)

Harapan kita hanya kepada Tuhan yang Maha Esa. Tuhan yang tidak pernah meninggalkan kita, walau siang atau malam. Tuhan yang sentiasa ingin kebaikan untuk kita. Tuhan yang Maha Penyayang.

Ketika kita dihimpit malang dan dosa. Tiada kata yang patut keluar melainkan “ya Allah, bantulah aku ya Allah. Tiada siapa yang mampu mengeluarkan aku dari bencana dan dosa.”

Ketika itu, dada selapang langit yang nun jauh di sana. Sinar iman dan taqwa mengisi jiwa. Dunia hanya picisan saja, Tuhan segala-galanya.

Tuan-tuan dan Cikpuan, masihkah kau mahu berputus asa? Sedangkan Tuhan sentiasa ada bersama. Tidak pernah meninggalkan kita.

JANGA PERNAH BERPUTUS ASA. TUHAN SENTIASA ADA.

saban Tahun mengenal manusia,
melaka

please follow & share:
0

Facebook Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Suka artikel di Blog ini? Kongsikan pada orang lain juga :)

Scroll To Top