Paradigma

SEMBANG SAMPAI TERBANG

Outram Prison, antara tempat yang bermain-main di minda bila sahaja sampai di Singapura. Buku tulisan Said Zahari bertajuk The long nightmare dipegang erat. Buku itu telah banyak mengajar saya erti pengorbanan dan perjuangan nasionalis ketika itu. 

Antara bait-bait karangan Said Zahari yang masih saya ingat tentang penjara Outram ialah, “Outram Prison was as infamous as its inhabits. The British colonialist had, at one time or other, incarccerated almost all the nationalist independence fighters at Outram. From the end of the 1930s to the Japanese fascist army accupation from 1942 to 1945, to the returns of the British colonialist to Singapore and Malaya at the end 1945,Outram was the “premier” prison for the nationalists.”

Bunyi kuat dari roda-roda keretapi tanah melayu, membingitkan telinga. Bunyi-bunyi itu sudah lama tidak menjadi halwa telinga saya. Terlalu khayal dan asyik dengan bunyian itu, ia bagaikan sebuah alunan muzik dari dimensi lain. 

Tidak berapa lama, bunyian itu berhenti berbunyi. Hanya gersikan suara-suara orang ramai kendengaran, yang sibuk memunggah barangan untuk turun dari keretapi. Sinaran mentari pada pagi itu pula, terasa hangat menggigit kulit. 

Arahan untuk mengosongkan gerabak dari pegawai-pegawai yang bertugas langsung terus masuk ke gegendang. Saya cepat-cepat mencapai komputer riba dan beg galas yang diletakkan di atas tempat dudukku, kemudian bergegas turun.

Perut pun dah mula berkeroncong, meminta untuk diisi sepinggan dua nasi lemak dan secangkir kopi panas agaknya. Berpusing-pusing juga untuk mencari tempat kosong, akhirnya dapat juga ruang untuk melepas lelah.

Di belakang saya ada tiga orang anak muda sedang asyik berborak. Sementara menunggu makanan yang ditempah sampai, saya belek-belek telefon bimbit sebentar sambil memasang telinga. hehe

“Kau tahu.. aku baru dapat projek 1 juta dari kerajaan. Nak buat aplikasi pendidikan untuk pelajar universiti.” Beritahu seorang lelaki berkulit sawo matang, bercermin mata, dan berpakain segak, ala-ala usahawan berjaya kepada rakannya. 

“Alah kau, jangan sembang lah.. Bukan ke syarikat kau baru saja buka. Takkan dah dapat projek juta-juta.” Bantah seorang rakannya. Suaranya agak meninggi, mungkin dah biasa kena ‘sembang’ dengan kawannya tadi.

Tersenyum saya bila dengar perkataan ‘sembang’. Satu perkataan yang sangat sinonim dalam dunia perniagaan. Orang kata “Sembang sampai terbang”.

Bila makanan dah sampai, saya dah malas nak curi-curi dengar. Terasa lega betul bila dapat makan sepinggan nasi lemak yang ada telur rebus, ikan bilis rangup, dan sambal yang padu. Ini betul-betul padu, bukan sembang!

hhaha.. ini nak cerita ini pasal orang yang kuat sembang. Biasanya orang yang kuat sembang ini, senang kantoi. Sebab dia pun terlupa apa yang dia cakap, dengan siapa dia cakap, dan bila dia cakap. Pepatah melayu kata, “Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.”

Sepanjang dalam dunia perniagaan sehingga hari ini, saya ada jumpa seorang manusia yang paling kuat sembang.

Menjaja dia beritahu Isterinya bersalin di Australia.  Ada kereta pelbagai jenama, mempunyai puluhan syarikat, labur 500ribu dalam syarikat fnb contena, dan berbagai lagi.

Akhirnya semua sembang dia terbongkar satu persatu…. Isterinya bersalin di Melaka, tidak ada pun kereta yang disembangnya, dan pemilik syarikat FnB mengatakan tidak pernah ada apa-apa pelaburan dari dia, dan semuanya dusta.

Kadangkala saya bertanya pada diri sendiri, apakah motif untuk kita cerita itu ini yang tidak benar semata-mata untuk impress orang? Tidak penatkah? Tidak takut kah?

Sebab itu dalam Islam Nabi melarang kita terlalu banyak bercakap. Sebab bila banyak bercakap, maka banyaklah silap. Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia berkata baik ataupun diam.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Bagi saya, orang yang kuat sembang ini adalah seorang penipu. Pendustaan adalah makanan seharian mereka, sehinggakan tidak ada rasa bersalah. Baginya “tak ada apa-apa”..

Impaknya dalam perniagaan, orang ramai dah mula menjauh. Mulalah pelbagai labelan, sangkaan, dan persepsi tidak baik antara satu sama lain terjadi. Paling menyedihkan, kerana kuatnya sembang dia, banyak fitnah terjadi di sekeliling saya.

Pada saya, seseorang itu takkan berani untuk bercakap bohong apabila sedar bahawa Allah sentiasa bersama kita. Melihat setiap pekerjaan, percakapan, dan perlakuan, ada Sang Pencipta yang sedang melihat dan menghisab. 

Berhati-hati apabila berjumpa dan berkenalan dengan orang sebegini. Sama ada dia akan merosakkan kita, atau kita dirosakkan olehnya.

Kawan dengan penjual minyak wangi, harumlah kita. Kawan dengan orang yang kuat sembang, ……… sambung sendiri 🙂

Hati-hati dengan apa yang kita cakap, dan pastikan apa yang keluar dari mulut kita adalah perkataan yang diredhai Allah.

Sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, “Sesungguhnya seorang hamba berbicara dengan suatu kata-kata yang diredhai Allah tanpa dia menaruh perhatian padanya maka Allah mengangkatnya lantaran ucapannya itu beberapa darjat. Dan sesungguhnya seorang hamba berbicara dengan kata-kata yang dimurkai Allah tanpa memikirkannya maka ia menjerumuskannya ke dalam Neraka Jahannam.” (Riwayat Al-Bukhari)

 

please follow & share:
0

Facebook Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Suka artikel di Blog ini? Kongsikan pada orang lain juga :)

Scroll To Top